Tuesday, October 17, 2006

Syaidatina Aisyah Ummul Mukminin


iang Aisyah:

Tiang Aisyah terletak di tengah-tengah Raudhah. Nabi s.a.w menjadikan kawasan tiang ini sebagai tempat sembahyang selama dua atau tiga bulan selepas berlaku pertukaran kiblat. Kemudian baginda berpindah ke kawasan mihrab yang melekat dengan tiang al-Mukhallaqah.

Sebab Dinamakan Tiang Aisyah:

1. Pada suatu hari beberapa orang sahabat duduk bersama-sama Saidatina Aisyah r.a dan anak saudaranya Urwah bin Zubair. Saidatina Aisyah berkata: Di dalam Masjid ini ada sebatang tiang, kalaulah ia diketahui oleh orang ramai tentu mereka akan berebut-rebut untuk mendirikan sembahyang di sisinya walaupun terpaksa membuat undian. Di antara mereka telah bertanya Saidatina Aisyah tentang tiang tersebut tetapi Saidatina Aisyah enggan memberitahunya.

2. Selepas para sahabat beredar, Saidatina Aisyah telah memberitahu Ibnu az-Zubair tentang tiang tersebut lalu Ibnu az-Zubair bangun menuju ke tiang yang dimaksudkan dan mendirikan sembahyang di situ. Pada masa yang sama sebahagian daripada para sahabat memerhati apakah yang akan dilakukan oleh Urwah? Setelah mereka melihat Urwah mendirikan sembahyang di tiang yang Saidatina Aisyah maksudkan, mereka juga terus pergi ke tiang tersebut dan mendirikan sembahyang. Kerana itulah tiang tersebut dinamakan tiang Aisyah malah sehingga kini ada tertulis di bahagian atas tiang ini dengan nama tiang Aisyah.